KOTA BHARU, 6 Jun - Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM 450,000 bagi menjayakan projek Jejak Amal Covid-19 Komuniti (JACK) berikutan PKP 3.0.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, YB Dato' Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan ini disalurkan melalui 45 Pusat Khidmat DUN sebanyak RM10,000 setiap DUN dan akan diagihkan bermula Jun hingga Julai tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan Kelantan sentiasa berusaha menggunakan segala mekanisme bagi memastikan bantuan kepada rakyat dapat disempurnakan terutamanya setelah bermulanya kerajaan elektronik kini lantaran pandemik Covid19 yang bergerak ke arah norma baru.
"Krisis pandemik telah mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi apabila ada rakyat yang menjadi 'asnaf segera' akibat hilang pendapatan dan pekerjaan, perniagaan merosot dan sebagainya.
"Bagi meringankan beban golongan asnaf seperti ini, inisiatif JACK adalah antara mekanisma dan usaha terbaik agar tiada golongan yang tercicir mendapat bantuan," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Taklimat Jejak Amal Covid19 Komuniti menerusi platform online zoom kepada semua AJK Skuad Kita Cakna.
Meskipun pelbagai bantuan bulanan kepada golongan asnaf sedia ada telah disediakan oleh kerajaan negeri sama ada melalui JKM, MAIK mahupun NGO, namun golongan 'asnaf segera' ini juga turut diberi keutamaan kerana mereka bukanlah golongan asnaf penerima bantuan bulanan.
Sementara itu, Pengarah U-KeKWa, Ilvira Mohd Dasuki dalam taklimatnya berkata, seramai 200 orang penerima akan menerima bantuan berbentuk bakul makanan keperluan asas di setiap DUN.
"Antara kriteria yang melayakkan penerima menerima manfaat ini ialah mereka mestilah bukan penerima bantuan bulanan DUN dan agensi atau jabatan atau pekerja yang bergaji harian "ada kerja ada gaji" namun tidak dapat bekerja disebabkan PKP seperti pemandu lori".
Tambah beliau, antara kriteria lain ialah peniaga yang tidak dapat melaksanakan perniagaan atau terjejas teruk disebabkan PKP serta hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja.
- buletin
- Hits: 2336