Majlis Perasmian Baitu Al-Solehah

BAITUS SOLEHAH MEDIUM LAHIRKAN SURI TELADAN – DATO' MUMTAZ
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM110 ribu untuk mewujudkan Baitus Solehah di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) sebagai tempat khusus kepada pelajar dalam memberi ilmu teori dan praktikal dalam bidang sains pengurusan rumah tangga dan keluarga.
“Objektif utama Baitus Solehah ini dibina bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tetapi mereka juga mampu melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, menghias laman dan mengurus rumah tangga dengan baik pada masa kelak, sekaligus dapat melahirkan suri teladan seanggun Fatimah Az-Zahra.”
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Mumtaz Md Nawi di Majlis Perasmian Baitus Solehah dan Pelancaran Buku Suri Mithali di MMP, hari ini.
Program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKwa) dengan kerjasama MMP tersebut, YB Dato’ Hajah Mumtaz berkata, jika dahulu subjek Sains Rumah Tangga diajar di sekolah, tetapi kini tidak lagi, justeru pelancaran Baitus Solehah menjadi rintis kepada pengajaran ilmu tersebut kerana melihat kepentingan ilmunya kepada golongan muda terutamanya pelajar.
Dalam pada itu, bagi melengkapi ilmu pengurusan rumah tangga tersebut, buku manual Suri Mithali didatangkan khas yang dilengkapi tujuh bab berkaitan keperluan suri rumah. Menurut pengarangnya, Wan Nur Ainon Abdullah, buku itu menjadi buku pertama yang diterbitkan di Malaysia yang komprehensif merangkumi semua aspek keperluan suri rumah tanpa mengira usia, bangsa dan agama kerana ianya universal.
Sebagai rekod, Baitus Solehah dibina dengan keluasan 1,000 kaki persegi dilengkapi dengan kemudahan peralatan rumah seperti set bilik tidur, sofa, meja makan, mesin basuh, peti ais dan peralatan dapur yang lengkap untuk memudahkan pelaksanaan amali kepada pelajar dengan situasi sebenar pengurusan rumah tangga dan projek ini akan diteruskan ke sekolah-sekolah lain juga untuk masa akan datang.
© 2022 Code Junkies. All Rights Reserved. Designed By JoomShaper

GTranslate