KOTA BHARU, 11 APRIL - Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018, sekali lagi MPPOK dengan kerjasama kerajaan negeri kembali menganjurkan Persidangan OKU Darulnaim kali ke-3 pada 11 April semalam.
Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Hjh Mumtaz Md Nawi dan disertai oleh warga OKU dan wakil-wakil persatuan OKU dalam dan luar negeri termasuk wakil jabatan kerajaan dan orang awam.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ merakamkan penghargaan kepada warga OKU yang turut membantu kerajaan dalam menguruskan hal ehwal OKU Kelantan sehingga berjaya mewujudkan Majlis Perwakilan OKU Negeri, Penyelaras Pembangunan OKU di setiap parlimen dan Duta OKU serta pelbagai pencapaian lain hasil kolaborasi antara pihak kerajaan.
Tambahnya, Persidangan OKU kali ini merupakan rentetan dari persidangan yang julung kali diadakan semasa dibawah pentadbiran Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2012.
Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Buku Fiqh Siasah OKU terbitan USIM dengan kerjasama kerajaan negeri sebagai memperkasakan usaha kerajaan dalam memartabatkan siasah OKU dalam menjelaskan isu-isu serta permasalahan fiqh berkaitan OKU.
Selain Itu diadakan Gimik Penyampaian Kerusi Roda Elektrik kepada En Mohd Fauzan Yakob yang merupakan seorang OKU fizikal yang produktif mencari pendapatan. Projek kerusi roda elektrik ini melibatkan agihan kepada 59 OKU produktif di seluruh Kelantan.