Skim Cakna Suri Fasa 2 Diteruskan

Kota Bharu, 28 Ogos - Seramai 3,182 orang pemohon yang layak bakal menerima bantuan Skim Cakna Suri Fasa 2.
Skim Cakna Suri ini merupakan bantuan khusus one-off untuk suri rumah di negeri Kelantan. Pada Fasa 1, seramai 9,000 orang telah menerima manfaat daripada skim ini. Sumbangan telah diagihkan melalui YB ADUN masing-masing.

Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan RM 2,436,400 .00 bagi Skim Cakna Suri bagi tahun 2023.

"Perancangan Skim Cakna Suri akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan kerjasama PERKESO. Pihak Kerajaaan Negeri Kelantan akan buat caruman kepada PERKESO melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2022. Skim ini diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga", ucap YB Rohani Ibrahim, EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.

Turut disampaikan bantuan bencana banjir dan kerusi roda elektrik kepada OKU yang produktif. Bantuan bencana banjir ini melibatkan permohonan daripada mangsa-mangsa pada bulan Mei yang lalu. Manakala agihan projek kerusi roda melibatkan OKU produktif yang berdaftar dengan JKM yang merupakan pencari nafkah keluarga berumur antara 18-50 tahun.

Semoga bantuan ini dapat meringankan beban para pemohonan.

© 2022 Code Junkies. All Rights Reserved. Designed By JoomShaper

GTranslate