Majlis Watikah Lantikan MPWP Tahun 2023-2025

 
KOTA BHARU, 28 FEB - Majlis Watikah Lantikan Majlis Perundingan Wanita Kelantan(MPWP) bagi Sidang Ke-6 Tahun 2023-2025 telah berlangsung dengan jayanya di The Grand Renai, Kota Bharu. Majlis ini bertujuan memperkenalkan ahli-ahli yang terlibat dalam menjalankan tugas sebagai perunding wanita bagi Kerajaan Negeri Kelantan.
Majlis ini disertai oleh 500 orang peserta dari pelbagai sektor telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Rohani Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Kerajaan Negeri Kelantan. Dalam ucapan beliau, YB Rohani Ibrahim turut mengucapkan terima kasih dan mengakui usaha gigih para Exco Wanita sebelum beliau yang telah banyak berkontribusi dalam memartabatkan peranan dan kedudukan wanita di Kelantan.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua Exco Wanita sebelum saya, yang telah banyak berusaha memartabatkan Wanita Kelantan dengan pelbagai dasar dan program yang sangat baik. Sumbangan mereka telah membentuk landasan yang kukuh bagi pembangunan dan kesejahteraan wanita di negeri ini," ujar Rohani Ibrahim.
Majlis Watikah ini turut menyaksikan penyerahan watikah kepada 34 orang MPWN dan 438 orang MPWP untuk tempoh sidang ke-6 ini. Ahli-ahli yang dilantik diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan memberikan sumbangan yang positif bagi memajukan agenda dan kebajikan wanita di negeri ini.
Majlis Watikah Lantikan Majlis Perundingan Wanita Kelantan ini merupakan satu langkah progresif dalam memberikan penekanan kepada pentingnya peranan wanita dalam pembangunan negeri dan masyarakat. Kerajaan Negeri Kelantan berharap agar Majlis Perundingan Wanita ini dapat menjadi medium efektif dalam merangka dasar-dasar yang menyokong perkembangan dan kesejahteraan wanita di Kelantan.
© 2022 Code Junkies. All Rights Reserved. Designed By JoomShaper

GTranslate