Kota Bharu; 5 Mei 2024 - Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Bil 1.2024 telah diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim. Dua kertas kerja dibentangkan yang bertujuan untuk mengukuhkan serta memperkasa peranan dan pembangunan wanita dalam pelbagai bidang.
Salah satu perbentangan kertas kerja adalah berkenaan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita yang telah dijadualkan pada 22 Oktober 2024. Konvensyen ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan dan penjenamaan kepimpinan wanita dalam masyarakat. Diharapkan konvensyen ini akan menjadi platform penting untuk menyatukan idea dan strategi bagi memperkukuhkan peranan wanita dalam kepimpinan.
Perbentangan kedua ialah mengenai pemakluman Pusat Latihan Wanita OKU & Armalah (PLWOA) yang diusulkan untuk dinaiktaraf sebagai pusat bertauliah. Langkah ini diambil untuk meningkatkan kredibiliti dan kesan program-program yang ditawarkan oleh PLWOA dalam memperkasa wanita dalam sosio ekonomi. Penaiktarafan PLWOA sebagai pusat bertauliah diharapkan dapat meningkatkan aksesibiliti serta kualiti latihan dan bimbingan yang disediakan kepada wanita di negeri Kelantan.
Mesyuarat ini telah memberi penekanan yang besar kepada usaha-usaha pemerkasaan wanita dalam masyarakat serta memberi sokongan kepada inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan dan pembangunan. Keputusan serta langkah seterusnya akan diumumkan selepas penilaian menyeluruh terhadap kertas kerja yang dibentangkan.