Kota Bharu, 29 Julai 2024 (Isnin) - Bengkel Pembangunan Produk Darul Niswah (PPWK) 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel H-Elite, Kota Bharu. Program ini telah dirasmikan oleh YB Rohani Ibrahim, EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Rohani menyatakan hasrat beliau agar setiap Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) dapat menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk yang berdaya saing di pasaran. Beliau menekankan pentingnya inovasi dan daya saing dalam penghasilan produk yang bukan sahaja mampu menembusi pasaran tempatan tetapi juga di peringkat nasional dan antarabangsa.
YB Rohani turut menyeru para peserta bengkel untuk menghasilkan produk-produk yang mencerminkan budaya negeri Kelantan dan nilai-nilai Islam. Beliau berharap usaha ini dapat memperkukuh identiti dan warisan budaya Kelantan serta memberi manfaat ekonomi kepada golongan wanita di negeri ini.
Bengkel ini dihadiri oleh peserta 180 orang PPWK dari seluruh Kelantan dan dijangka mampu melahirkan produk-produk yang berkualiti tinggi serta berdaya saing dalam pasaran.
Bengkel disampaikan oleh wakil Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).
Turut hadir Timbalan EXCO, YB Ustazah Nor Asilah Mohamad Zin.